News

Bazar Festival Gawai platform baik usahawan Dayak jana pendapatan
Posted on : 21 Jun 2022  Source of News: www.utusanborneo.com.my
 

Uggah ketika melawat gerai Gawai Bazaar Festival 2022 di Kuching, malam Isnin. - Gambar oleh Roystein Emmor

Uggah ketika melawat gerai Gawai Bazaar Festival 2022 di Kuching, malam Isnin. - Gambar oleh Roystein Emmor

KUCHING: Penganjuran Bazar Festival Gawai memberi peluang khususnya kepada usahawan Dayak untuk menjana pendapatan dengan memperkenalkan produk keluaran mereka.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia adalah platform yang baik untuk mereka mencari rezeki dengan perniagaan mikro seperti ini.

“Ini cara kita (kerajaan) mendedahkan kepada usahawan Dayak bahawa perniagaan dapat diadakan setiap masa dan tidak terhad pada hari Gawai sahaja supaya ada peluang untuk mereka meningkatkan pendapatan. 

“Sebab itu kita mengadakan Bazar Festival Gawai ini di sini, selama 10 hari mulai 17 Jun 2022,” katanya ketika ditemui media semasa meninjau Bazar Festival Gawai 2022 di pekarangan Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, malam Isnin.

Uggah menambah, beliau kagum melihat susunan gerai yang teratur dan respon positif daripada orang ramai terhadap bazar ini.

Sehubungan itu, katanya, penganjuran bazar ini dirancang diadakan setiap tahun supaya orang ramai dapat mengetahui produk tempatan yang ada di pasaran.

“Seterusnya dapat menarik minat ramai pelancong dengan mempamerkan barang-barang makanan asli orang Sarawak,” ujarnya.

Misalan tadi, katanya, beliau telah meninjau gerai usahawan yang menjual sos cili dan aiskrim buah dabai.

“Dabai biasanya, kita buang bijinya, tapi hari ini kita dapat makan isinya (dari dalam biji buah dabai) seperti kacang pistasio,” katanya.

Menurutnya, bazar kali ini mempunyai  129 gerai jualan makanan, minuman dan hasil produk kraf tangan. 

“Kemungkinan akan bertambah pada tahun hadapan bergantung dengan sambutan,” ujar beliau.